Selasa, 13 Mei 2014

Perancangan Bajet Untuk Bercuti

Ini adalah antara topik kegemaranku. TRAVEL. Boleh kata hobi jugak lah. Kalau boleh nak travel je. Tapi memang tak boleh lah kan. Kalau asik travel bila masanya nak keje kan. Abis kalau tak keje mana nak datang duit nak travel? Aku bukan anak tokeh balak pun. Memandangkan aku ni suka travel dan kalau boleh nak selalu travel, so planning tu penting. Kene ada bajet. Kalau tak memang tak merasalah nak travel seselalu kan. Macam mana aku planning bajet untuk travel ni? Ni nak share tips sikit. Ada banyak tips sebenarnya. Ni adalah aku korek-korek, kumpul-kumpul sikit pastu share kat sini. hehe......



Walau ke mana pun destinasi percutian anda yang paling penting adalah merancang percutian mengikut kemampuan atau bajet yang ditetapkan. Dengan perancangan yang teliti dan tidak ‘lari’ daripada peruntukan yang telah diketepikan ia mampu mengelakkan  daripada ‘gangguan’ perjalanan kewangan harian anda.

Jika anda tahu berapa banyak perbelanjaan yang anda peruntukan  untuk percutian itu ia mampu membantu anda untuk membuat pilihan yang bijak. Menyesuaikan bajet anda dengan rancangan percutian sebenarnya turut menuntut anda untuk merujuk kepada bahan bacaan dan melakukan penyelidikan untuk memilih destinasi terbaik. Semasa melancong semestinya anda ingin berhemat dalam berbelanja. Bagaimanapun selain perbelanjaan tetap seperti pengangkutan dan penginapan, anda juga berdepan dengan perbelanjaan flkesibel seperti makanan dan minuman, belanja membeli belah dan juga bayaran masuk lokasi tarikan pelancong.

LANGKAH BERHEMAH

Berikut adalah langkah yang boleh anda lakukan untuk merancang perbelanjaan hemah bila bercuti di dalam atau luar negara:

1. Tabungan Mencukupi
Mempunyai tabungan yang mencukupi penting untuk bercuti. Mulalah menabung seawal mungkin. Asingkan duit persiapan percutian ke dalam tabung khas,  disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan anda. Kiranya ada ganjaran bonus, ketepikan juga bahagian untuk tabungan cuti.

2. Ketahui Pakej Promosi
Kiranya anda memilih untuk bercuti di luar negara, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan. Anda boleh mendapatkan maklumat daripada ejen  pelancongan tempatan. Bagi destinasi dalam negara pula, pakej percutian tempatan jua ada disediakan. Anda juga boleh menyelidik tempat menarik di sesebuah negara atau negeri dengan mendapat maklumat daripada majalah libur yang terdapat di pasaran dan juga dengan melayari internet atau iklan di akhbar. Biasanya menjelang musim sejuk negara di Eropah giat mengadakan promosi pelancongan.

3. Rancang Dengan Rapi
Tentukan dengan betul, negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda. Buat pendaftaran awal di tempat yang akan anda  kunjungi. Bagi menjimatkan tenaga perbelanjaan dan masa, ketahui kedudukan lokasi-lokasi menarik yang terletak berhampiran dengan lokasi yang dikunjungi. Jadi anda boleh mengetahui dengan lebih jelas jenis pengangkutan yang ada serta jumlah bayaran tambang yang diperlukan.

4. Senaraikan Anggaran Perbelanjaan
Senaraikan perkara yang perlu dilakukan dan anggaran perbelanjaan atau bajet sebelum pergi bercuti. Ini termasuklah penginapan, makan minum, pengangkutan dan bayaran lain seperti tol atau cenderahati. Anggaran perbelanjaan adalah sangat penting terutamanya jika anda bercuti di luar negara. Di samping itu anda perlu mengetahui kadar pertukaran wang negara yang ingin dilawati supaya percutian tersebut menepati anggaran perbelanjaan anda. Ini juga mengelakkan diri anda  daripada ditipu oleh pengurup wang. Kadar pertukaran wang asing penting diketahui untuk memudahkan anda membuat perancangan perbelanjaan terutamanya  apabila keluar membeli belah.

5. Buat Tempahan Awal
Industri pelancongan banyak bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam ekonomi. Membeli ketika permintaan belum tinggi pastinya memberi pulangan
kerana harga yang ditawarkan murah berbanding jika anda menempah di saat akhir ketika waktu kemuncak dan terhad. Jadi adalah lebih baik anda menempah tiket penerbangan atau tiket bas dengan lebih awal. Tempahan saat akhir adalah sangat mahal dan merugikan terutamanya ketika musim cuti persekolahan ini. Sama juga halnya dengan tempahan hotel atau tempat penginapan kerana tempahan awal boleh mengelakkan kesesakan. Malah jika bernasib baik tempahan melalui online kadangkala lebih murah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan bajet percutian.

6. Penginapan Buat Yang Belum berkeluarga
Pilih penginapan ikut kemampuan. Bagi pengembara bajet yang belum berkeluarga, pilihan terbaik adalah dengan menginap di asrama belia yang terdapat di seluruh dunia. Walaupun namanya asrama belia namun pelancong dewasa juga boleh menginap di sini. Namun anda pasti mahukan keselesaan jadi carilah beberapa asrama di kawasan yang sama untuk membuat perbandingan harga dan kemudahan yang ditawarkan. Selain asrama terdapat pilihan lain sepertinya menginap di rumah tumpangan atau “bed and breakfast’ atau juga pakej ‘homestay’ yang memberi peluang anda untuk tinggal bersama orang tempatan yang turut memberi peluang anda untuk lebih mengenali dan mendekati budaya dan gaya hidup mereka.

7. Kelengkapan Bersama Anak
Jika bercuti bersama anak pastikan persiapan makanan dan kelengkapan untuk mereka ada tersedia. Pastikan  anda memasukkan keperluan perbelanjaan ini dalam anggaran perbelanjaan percutian anda. Jika anda lebih selesa membawa kesemua kelengkapan anak secukupnya bersedialah memasukkan perbelanjaan lebihan untuk mengawasi bagasi yang banyak .

8. Sarapan Pagi Di Tempat Penginapan
Manfaat sarapan percuma di hotel. Jika anda bercuti di Eropah makanan di sana adalah mahal, jadi dengan mengambil sarapan yang berat pastinya mengurangkan
kekerapan untuk berhenti makan sekali gus mengurangkan lagi perbelanjaan anda.

9. Peruntukan Kecemasan
Ketepikan sedikit 20 peratus daripada anggaran perbelanjaan percutian untuk kecemasan. Ia mungkin kelihatan tidak penting tetapi peruntukan ini amat berguna
jika berlaku kejadian kecemasan seperti jatuh sakit atau kecederaan yang memerlukan rawatan hospital. Malah peruntukan ini juga boleh digunakan untuk membantu anda sekiranya anda terlebih berbelanja.

Ok, dah ada semua tu? apa lagi... lets GO!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan