Isnin, 26 Mei 2014

Kepentingan Pengambilan Makanan Seimbang

Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat serta kurang bersenam. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, “ Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan ” dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan.

Malaysia dikatakan mempunyai masalah obesiti yang serius. “Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan (obesiti)” - Sumber dari berita harian

Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.


1.  Pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal.

Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.


2.  Memberikan vitamin yang cukup kepada badan.

Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.


3.  Mampu mengawal kadar obesiti.

Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.


4.  Perkembangan mental seseorang itu tidak terganggu.

Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.

Kesimpulannya

Kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.

  
Makanan Seimbang Kurangkan Risiko Penyakit Berbahaya
  
Pengambilan makanan berkhasiat, berzat dan seimbang sering disarankan untuk memastikan anda sentiasa sihat dan bebas daripada pelbagai penyakit berbahaya. Ini kerana pengambilan makanan seimbang dalam diet seharian dapat membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit, termasuk kanser, serangan jantung dan angin ahmar, tekanan darah tinggi, lebihan kolesterol, osteoporosis dan spina bifida. Sejauh manakah makanan dapat membantu anda menjauhkan diri daripada penyakit berbahaya?


1.  Kanser (Barah)

Makan buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolon, perut, paru-paru dan esofagus. Bagaimanapun, bukti yang menunjukkan pengurangan risiko itu tidak sekuat sebagaimana kanser payu dara dan prostat. Diet tinggi lemak sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser prostat, kolon, rektum dan endometrium. Bagaimanapun diet tinggi lemak sukar dikaitkan dengan kanser payu dara tetapi ada bukti menunjukkan bahawa lemak tepu memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko kanser.


2.  Serangan jantung dan angin ahmar (Strok)

Satu kajian mendapati mereka yang mengikuti garis panduan pemakanan disarankan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengalami 28% dan 14% pengurangan risiko terhadap serangan jantung dan strok berbanding mereka yang tidak mengikuti garis panduan itu.


3.  Lebihan kolesterol

Kurangkan pengambilan lemak, terutama lemak tepu akan merendahkan risiko mengalami lebihan kolesterol di dalam darah, sekaligus risiko terhadap penyakit jantung koronari.


4.  Tekanan darah Tinggi

Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (8 hingga 10 hidangan) diikuti diet rendah lemak dan mengambil produk tenusu (3 hidangan sehari) boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan merendahkan tekanan darah, sekaligus mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung koronari.


5.  Osteoporosis

Mendapat kalsium secukupnya akan melindungi anda daripada osteoporosis. Kalsium dijumpai dalam produk tenusu, sayuran hijau dan banyak lagi produk yang diperkaya dengan kalsium.


6.  Spina Bifida

Mengambil makanan yang mengandungi asid folik seperti sayur-sayuran hijau atau asid folik yang diperkaya dengan bijirin sebelum dan ketika hamil dapat membantu melindungi bayi daripada mengalami spina bifida.

Info dari: Panduan Penjagaan Kesihatan (Berita Harian)


Tips Diet Seimbang
  
Antara beberapa tips diet seimbang yang boleh diamalkan.


1. Banyakkan makan makanan yang berbuah.

Kalau nak kira memang banyak sebenarnya buah yang sedap lagi berkhasiat. Diantaranya ialah buah apple, nenas, pisang, bawang putih, gandum, kentang, dan buah betik. Semua jenis buah yang disebut ini sebenarnya banyak khasiat tersendiri.


2. Banyakkan juga memakan kekacang.

Kacang pea, kekacang dan lentil adalah kaya dengan protein, karbohidrat, gentian dan beberapa vitamin (terutamanya vitamin B). Kacang soya yang sangat kaya dengan protein tumbuhan – boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti susu kacang soya, tauhu, tempe, protein sayuran bertekstur dan taugeh.

3. Banyakkan minum air.

Air adalah sangat penting untuk fungsi-fungsi tubuh anda, termasuk penghadaman, penyerapan dan pengangkutan zat, perkumuhan, pengawalan suhu badan dan bertindak sebagai pelincir bahagian tubuh yang bergerak. Tubuh kita akan kehilangan lebih kurang 11/2 hingga 21/2 liter air dalam satu hari melalui air kencing, tinja, peluh dan wap daripada paru-paru. Jangan tunggu sehingga sudah berasa dahaga, untuk menggantikan cecair yang telah hilang dari badan. Minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air setiap hari. Cecair juga boleh didapati daripada minuman lain, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan lain.


4. Kurangkan kandungan lemak dalam makanan.

Sebenarnya lemak itu penting, tetapi dalam diet harus menyumbangkan 20% hingga 30% sahaja dalam jumlah keperluan tenaga harian.Jadi, oleh itu kita harus elakkan pengambilan lemak berlebihan dengan:

R     Memilih makanan yang rendah lemak dan kolesterol.
R     Menggunakan minyak masak dalam kuantiti yang sedikit sahaja.
R     Mengurangkan penggunaan santan atau minyak kelapa dalam masakan.
R     Memilih daging tanpa lemak, serta membuangkan kulit jika boleh (contoh: kulit ayam).
R     Menghadkan penggunaan lemak yang boleh dilihat (seperti marjerin, mentega, minyak salad, krim dan mayonis).
R     Mengamalkan kaedah masakan alternatif (seperti membakar, menggunakan ketuhar gelombang mikro atau mengukus) daripada menggoreng.


5. Kurangkan gula.

Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh.Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.


6. Kurangkan garam

Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam. Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).

Sumber dari UTUSAN PENGGUNA


Isnin, 19 Mei 2014

Bagaimana Pengurusan Masa Terbaik Yang Diajarkan Dalam Islam?



Masa itu emas. Ungkapan melayu dahulu kala sering mengaitkan masa dengan emas. Mungkin pada masa dahulu, emas ini tampak berharga dari segalanya. Benarkah sampai begitu sekali? Ada juga yang mengatakan masa ini lebih berharga daripada emas. Logiknya, emas yang hilang mungkin boleh dicari dan diganti semula akan tetapi, bagaimana pula dengan masa? Sedetik yang berlalu belum tentu boleh diganti dan dicari semula. Itulah asbabnya masa ini terlalu berharga untuk dibuang dan dibazirkan begitu sahaja.

As-Syahid Hassan Al-Banna pula jelas mengaitkan masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya”. Manusia ini seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah saja lalai dengan kehidupan fana. Kadangkala sudah bertekad dan berazam untuk menggunakan masa dengan baik, namun akhirnya kecundang jua, jalan pembaziran yang menjadi pilihan untuk dilalui. Begitulah hakikat makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini.

Sesungguhnya, Allah s.w.t telah berjanji dengan masa: “Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”. ( Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)

Allah s.w.t telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalamnya iaitu kitab Al-Quran. Melalui ayat di atas, kita ketahui manusia akan terus berada dalam kerugian kecuali bagi orang mukmin yang sedar akan kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta memberi peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling secara umumnya.

Namun berapa ramaikah yang mengambil pengajaran daripada ayat di atas? Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana apabila dikaitkan dengan pengurusan masa. Mereka lebih rela menghabiskan masa yang terluang dengan perkara yang membawa kepada keseronokkan, yang dapat menghiburkan hati mereka, tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian yang saban hari mendekati mereka!

Punca pembaziran masa

Ada manusia yang mampu menguruskan masa dengan baik sehinggakan setiap detik masa yang ada diinfakkan untuk melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah s.w.t. Ada juga manusia yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan masa untuk perkara yang menggembirakan hati mereka. Ada manusia juga yang mampu menggunakan masa dengan baik pada mulanya, tetapi tidak kekal lama, akhirnya kembali meneruskan tabiat yang lama. Persoalannya, mengapakah perkara ini seringkali terjadi?
“Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.” (HR Ibn Hibban)

Inilah antara sebab mengapa manusia seringkali culas dengan pengurusan masa. Imannya kadangkala turun dan naik. Tidak tetap. Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai insan yang lemah di hadapanNya. Perlu diingatkan juga, walaupun iman ini sentiasa naik dan turun, namun kita punyai pilihan sama ada untuk meningkatkannya atau mengurangkannya. Oleh sebab itulah di dalam hadis ini, kita disarankan agar sentiasa memperbaharui iman kita. Apabila iman sudah tetap di hati, maka pengurusan mengenai masa bukanlah masalah terbesar yang perlu dihadapi.

Kedua, manusia ini mempunyai hati yang mudah berbolak-balik. Mungkin di siang hari, kita senang untuk melakukan kebaikkan, tetapi tiba di malam hari, kita berubah dan lebih tega untuk melakukan maksiat. Begitulah manusia yang mempunyai hati tidak tetap dan seringkali berubah. Allah s.w.t telah berfirman: “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” (Surah Al-Anam, ayat 110).

Semakin tetap hati kita, semakin sukar untuk kita jatuh dan tergelincir ke kancah maksiat. Namun, bukan mudah untuk tetapkan hati. Nabi Muhammad s.a.w  selalu mengamalkan doa, “Wahai Rabb yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu.” Jika Nabi yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, seringkali meminta agar ditetapkan hati, apatah lagi kita yang tidak pernah gagal untuk melakukan dosa, sudahkan doa ini dilazimi di bibir kita? (Iblis) menjawab, “kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur.” (Surah Al-A’raf, ayat 16 dan 17).

Inilah antara punca yang terakhir yang ingin dikongsikan dalam di dalam artikel ini. Janji syaitan terhadap Allah s.w.t sebelum golongan ini keluar dari syurga dan ditempatkan pula di neraka jahanam. Syaitan telah berjanji akan terus menyesatkan cucu cicit Adam sehingga hari kiamat tiba. Hanya manusia yang benar-benar ikhlas sahaja dan tidak lalai akan terselamat dari godaan dan tipu daya syaitan.

Ayuh kita atasinya!

Terlewat melaksanakan sesuatu tindakan adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Malah situasi akan menjadi lebih parah lagi sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Orang yang benar-benar mengenali masa dengan baik akan berpotensi menggunakan masa sebaiknya tanpa membazirkannya ke jalan yang sia-sia. Setiap manusia dikurniakan 24 jam dalam sehari. Hanya yang betul-betul mengenali masa dengan baik akan merasakan waktu yang diberikan cukup bermakna untuk melakukan kebaikkan dan kebajikan, selebihnya akan merintih dan seringkali mengeluh kerana kesempitan waktu.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila sesorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Hadis riwayat Abu Daud). Nabi Muhammad s.a.w menekankan supaya apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah dia melakukan dengan bersungguh-sungguh. Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biarlah pekerjaan itu sedikit, tetapi pastikan jangan meleret! Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan elakkan bertangguh agar masa yang selebihnya dapat digunakan untuk perkara lain yang sama taraf kepentingannya.
Hormati masa orang lain.

Hidup bermasyarakat mensyariatkan kita agar bermuamalat dengan manusia lain. Kita sering sahaja memandang enteng tentang kepentingan masa orang lain. Apabila perkara ini tidak dibendung sewajarnya, maka mudarat mudah sahaja mendekati! Mungkin mudah untuk berjanji masa dengan orang lain, tetapi tidak mudah untuk menepati masa dengan orang lain.  Berjanji masa lain, tepati masa lain. Inilah mentaliti yang perlu kita atasi secepatnya. Membiarkan perkara ini sehingga bernanah, akan merumitkan lagi langkah pemuliharaan. Sekiranya berjanji, maka tepatilah sehabis baik. Hormati masa orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menghormati masa kita. Sebagai seorang mahasiswa, pelajar dan juga penuntut, kehidupan kita sangat dekat dengan kelas serta kuliah. Kuliah yang kita hadiri saban hari perlulah kita peka dengan waktu pembelajaran bermula. Andai terlewat, kita bukan sahaja menganggu kelas dan pensyarah, tetapi memandu insan sekitar kita untuk melabelkan diri kita sebagai manusia yang tidak tahu menghargai masa!

Sekiranya bersyura, berusrah, bermesyuarat atau apa-apa majlis yang memerlukan kehadiran kita untuk majlis itu bermula, maka jangan zalimi masa orang lain. Jika terpaksa lewat disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, latih diri untuk beradab dengan masa orang lain. Mohon kemaafan dan maklumkan akan kelewatan kita. Ini lebih indah daripada lewat tanpa berita dan alasan yang kukuh!
  
Tawan masa!

Ramai manusia yang celik akan kepentingan masa tetapi buta akan cara menggunakannya. Jadi, perkara ini akan merugikan diri kita sendiri. Belajarlah cara menawan masa dan janganlah biarkan diri kita ditawan pula oleh masa! “Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari).


Antara kita dengan masa, siapakah lebih cilik? Tanya diri kita sendiri, moga beroleh petunjuk Ilahi. Wallahualam.


Selasa, 13 Mei 2014

Perancangan Bajet Untuk Bercuti

Ini adalah antara topik kegemaranku. TRAVEL. Boleh kata hobi jugak lah. Kalau boleh nak travel je. Tapi memang tak boleh lah kan. Kalau asik travel bila masanya nak keje kan. Abis kalau tak keje mana nak datang duit nak travel? Aku bukan anak tokeh balak pun. Memandangkan aku ni suka travel dan kalau boleh nak selalu travel, so planning tu penting. Kene ada bajet. Kalau tak memang tak merasalah nak travel seselalu kan. Macam mana aku planning bajet untuk travel ni? Ni nak share tips sikit. Ada banyak tips sebenarnya. Ni adalah aku korek-korek, kumpul-kumpul sikit pastu share kat sini. hehe......



Walau ke mana pun destinasi percutian anda yang paling penting adalah merancang percutian mengikut kemampuan atau bajet yang ditetapkan. Dengan perancangan yang teliti dan tidak ‘lari’ daripada peruntukan yang telah diketepikan ia mampu mengelakkan  daripada ‘gangguan’ perjalanan kewangan harian anda.

Jika anda tahu berapa banyak perbelanjaan yang anda peruntukan  untuk percutian itu ia mampu membantu anda untuk membuat pilihan yang bijak. Menyesuaikan bajet anda dengan rancangan percutian sebenarnya turut menuntut anda untuk merujuk kepada bahan bacaan dan melakukan penyelidikan untuk memilih destinasi terbaik. Semasa melancong semestinya anda ingin berhemat dalam berbelanja. Bagaimanapun selain perbelanjaan tetap seperti pengangkutan dan penginapan, anda juga berdepan dengan perbelanjaan flkesibel seperti makanan dan minuman, belanja membeli belah dan juga bayaran masuk lokasi tarikan pelancong.

LANGKAH BERHEMAH

Berikut adalah langkah yang boleh anda lakukan untuk merancang perbelanjaan hemah bila bercuti di dalam atau luar negara:

1. Tabungan Mencukupi
Mempunyai tabungan yang mencukupi penting untuk bercuti. Mulalah menabung seawal mungkin. Asingkan duit persiapan percutian ke dalam tabung khas,  disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan anda. Kiranya ada ganjaran bonus, ketepikan juga bahagian untuk tabungan cuti.

2. Ketahui Pakej Promosi
Kiranya anda memilih untuk bercuti di luar negara, pilih negara yang mengadakan promosi pelancongan. Anda boleh mendapatkan maklumat daripada ejen  pelancongan tempatan. Bagi destinasi dalam negara pula, pakej percutian tempatan jua ada disediakan. Anda juga boleh menyelidik tempat menarik di sesebuah negara atau negeri dengan mendapat maklumat daripada majalah libur yang terdapat di pasaran dan juga dengan melayari internet atau iklan di akhbar. Biasanya menjelang musim sejuk negara di Eropah giat mengadakan promosi pelancongan.

3. Rancang Dengan Rapi
Tentukan dengan betul, negara, kota atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda. Buat pendaftaran awal di tempat yang akan anda  kunjungi. Bagi menjimatkan tenaga perbelanjaan dan masa, ketahui kedudukan lokasi-lokasi menarik yang terletak berhampiran dengan lokasi yang dikunjungi. Jadi anda boleh mengetahui dengan lebih jelas jenis pengangkutan yang ada serta jumlah bayaran tambang yang diperlukan.

4. Senaraikan Anggaran Perbelanjaan
Senaraikan perkara yang perlu dilakukan dan anggaran perbelanjaan atau bajet sebelum pergi bercuti. Ini termasuklah penginapan, makan minum, pengangkutan dan bayaran lain seperti tol atau cenderahati. Anggaran perbelanjaan adalah sangat penting terutamanya jika anda bercuti di luar negara. Di samping itu anda perlu mengetahui kadar pertukaran wang negara yang ingin dilawati supaya percutian tersebut menepati anggaran perbelanjaan anda. Ini juga mengelakkan diri anda  daripada ditipu oleh pengurup wang. Kadar pertukaran wang asing penting diketahui untuk memudahkan anda membuat perancangan perbelanjaan terutamanya  apabila keluar membeli belah.

5. Buat Tempahan Awal
Industri pelancongan banyak bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam ekonomi. Membeli ketika permintaan belum tinggi pastinya memberi pulangan
kerana harga yang ditawarkan murah berbanding jika anda menempah di saat akhir ketika waktu kemuncak dan terhad. Jadi adalah lebih baik anda menempah tiket penerbangan atau tiket bas dengan lebih awal. Tempahan saat akhir adalah sangat mahal dan merugikan terutamanya ketika musim cuti persekolahan ini. Sama juga halnya dengan tempahan hotel atau tempat penginapan kerana tempahan awal boleh mengelakkan kesesakan. Malah jika bernasib baik tempahan melalui online kadangkala lebih murah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan bajet percutian.

6. Penginapan Buat Yang Belum berkeluarga
Pilih penginapan ikut kemampuan. Bagi pengembara bajet yang belum berkeluarga, pilihan terbaik adalah dengan menginap di asrama belia yang terdapat di seluruh dunia. Walaupun namanya asrama belia namun pelancong dewasa juga boleh menginap di sini. Namun anda pasti mahukan keselesaan jadi carilah beberapa asrama di kawasan yang sama untuk membuat perbandingan harga dan kemudahan yang ditawarkan. Selain asrama terdapat pilihan lain sepertinya menginap di rumah tumpangan atau “bed and breakfast’ atau juga pakej ‘homestay’ yang memberi peluang anda untuk tinggal bersama orang tempatan yang turut memberi peluang anda untuk lebih mengenali dan mendekati budaya dan gaya hidup mereka.

7. Kelengkapan Bersama Anak
Jika bercuti bersama anak pastikan persiapan makanan dan kelengkapan untuk mereka ada tersedia. Pastikan  anda memasukkan keperluan perbelanjaan ini dalam anggaran perbelanjaan percutian anda. Jika anda lebih selesa membawa kesemua kelengkapan anak secukupnya bersedialah memasukkan perbelanjaan lebihan untuk mengawasi bagasi yang banyak .

8. Sarapan Pagi Di Tempat Penginapan
Manfaat sarapan percuma di hotel. Jika anda bercuti di Eropah makanan di sana adalah mahal, jadi dengan mengambil sarapan yang berat pastinya mengurangkan
kekerapan untuk berhenti makan sekali gus mengurangkan lagi perbelanjaan anda.

9. Peruntukan Kecemasan
Ketepikan sedikit 20 peratus daripada anggaran perbelanjaan percutian untuk kecemasan. Ia mungkin kelihatan tidak penting tetapi peruntukan ini amat berguna
jika berlaku kejadian kecemasan seperti jatuh sakit atau kecederaan yang memerlukan rawatan hospital. Malah peruntukan ini juga boleh digunakan untuk membantu anda sekiranya anda terlebih berbelanja.

Ok, dah ada semua tu? apa lagi... lets GO!!!


Isnin, 12 Mei 2014

New Media Technology

New Media Technology. Kenapa dengan tajuk ni? Sebabnya ialah ini merupakan salah satu subjek dalam aku punya program Bachelor Communication. Yalah, tapi kenapa sampai nak jadi tajuk post? Sebabnya ialah ini adalah salah satu assignment yang perlu dibuat iaitu menyediakan sebuah blog. Heheeee.....

So, selama dua bulan ni insyaAllah aku akan "istiqomah" berblog. Mudah-mudahan dipermudahkan dan adalah kerajinan.... Apa topik yang nak ditulis? Ok..... memandangkan topik adalah bebas, aku takkan tetapkan topik apa yang nak ditulis . Apa-apa pun bolehlah. Dengan kata lain blog aku sukati akulah kan. Kalau rajin apa salahnya aku teruskan blogging ni sebagai 1 hobi. Mengisi masa lapang, menghilangkan rasa bosan kan. Oklah, cukup lah intro kot. Ntah hape2 aku melalut. hehe..... :P