Masa itu emas. Ungkapan melayu dahulu kala sering
mengaitkan masa dengan emas. Mungkin pada masa dahulu, emas ini tampak berharga
dari segalanya. Benarkah sampai begitu sekali? Ada juga yang mengatakan masa
ini lebih berharga daripada emas. Logiknya, emas yang hilang mungkin boleh
dicari dan diganti semula akan tetapi, bagaimana pula dengan masa? Sedetik yang
berlalu belum tentu boleh diganti dan dicari semula. Itulah asbabnya masa ini
terlalu berharga untuk dibuang dan dibazirkan begitu sahaja.
As-Syahid Hassan Al-Banna pula jelas mengaitkan
masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah
masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat
kematiannya”. Manusia ini seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah saja
lalai dengan kehidupan fana. Kadangkala sudah bertekad dan berazam untuk
menggunakan masa dengan baik, namun akhirnya kecundang jua, jalan pembaziran
yang menjadi pilihan untuk dilalui. Begitulah hakikat makhluk yang diciptakan
oleh Allah s.w.t di muka bumi ini.
Sesungguhnya, Allah s.w.t telah berjanji dengan
masa: “Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan
saling menasihati untuk kesabaran”. ( Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)
Allah s.w.t telah memperingatkan kita akan
kepentingan masa melalui kalamnya iaitu kitab Al-Quran. Melalui ayat di atas,
kita ketahui manusia akan terus berada dalam kerugian kecuali bagi orang mukmin
yang sedar akan kepentingan masa lalu menggunakan masa tersebut untuk melakukan
kebajikan dan kebaikan serta memberi peringatan untuk manfaat diri sendiri dan
masyarakat sekeliling secara umumnya.
Namun berapa ramaikah yang mengambil pengajaran
daripada ayat di atas? Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana
apabila dikaitkan dengan pengurusan masa. Mereka lebih rela menghabiskan masa
yang terluang dengan perkara yang membawa kepada keseronokkan, yang dapat
menghiburkan hati mereka, tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian yang
saban hari mendekati mereka!
Punca pembaziran masa
Ada manusia yang mampu menguruskan masa dengan baik
sehinggakan setiap detik masa yang ada diinfakkan untuk melakukan kebaikan dan
memperoleh redha daripada Allah s.w.t. Ada juga manusia yang tidak tahu
menghargai masa dan selalu menghabiskan masa untuk perkara yang menggembirakan
hati mereka. Ada manusia juga yang mampu menggunakan masa dengan baik pada
mulanya, tetapi tidak kekal lama, akhirnya kembali meneruskan tabiat yang lama.
Persoalannya, mengapakah perkara ini seringkali terjadi?
“Iman itu kadang naik kadang turun, maka
perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.” (HR Ibn Hibban)
Inilah antara sebab mengapa manusia seringkali
culas dengan pengurusan masa. Imannya kadangkala turun dan naik. Tidak tetap.
Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai insan yang lemah di hadapanNya. Perlu
diingatkan juga, walaupun iman ini sentiasa naik dan turun, namun kita punyai
pilihan sama ada untuk meningkatkannya atau mengurangkannya. Oleh sebab itulah
di dalam hadis ini, kita disarankan agar sentiasa memperbaharui iman kita. Apabila
iman sudah tetap di hati, maka pengurusan mengenai masa bukanlah masalah
terbesar yang perlu dihadapi.
Kedua, manusia ini mempunyai hati yang mudah
berbolak-balik. Mungkin di siang hari, kita senang untuk melakukan kebaikkan,
tetapi tiba di malam hari, kita berubah dan lebih tega untuk melakukan maksiat.
Begitulah manusia yang mempunyai hati tidak tetap dan seringkali berubah. Allah
s.w.t telah berfirman: “Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan
mereka.” (Surah Al-Anam, ayat 110).
Semakin tetap hati kita, semakin sukar untuk kita
jatuh dan tergelincir ke kancah maksiat. Namun, bukan mudah untuk tetapkan
hati. Nabi Muhammad s.a.w selalu mengamalkan doa, “Wahai Rabb yang
membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu.” Jika Nabi yang tidak
pernah melakukan apa-apa kesalahan, seringkali meminta agar ditetapkan hati,
apatah lagi kita yang tidak pernah gagal untuk melakukan dosa, sudahkan doa ini
dilazimi di bibir kita? (Iblis) menjawab, “kerana Engkau telah menyesatkan aku,
pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian
pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan
dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakkan mereka
bersyukur.” (Surah Al-A’raf, ayat 16 dan 17).
Inilah antara punca yang terakhir yang ingin
dikongsikan dalam di dalam artikel ini. Janji syaitan terhadap Allah s.w.t
sebelum golongan ini keluar dari syurga dan ditempatkan pula di neraka jahanam.
Syaitan telah berjanji akan terus menyesatkan cucu cicit Adam sehingga hari
kiamat tiba. Hanya manusia yang benar-benar ikhlas sahaja dan tidak lalai akan
terselamat dari godaan dan tipu daya syaitan.
Ayuh kita atasinya!
Terlewat melaksanakan sesuatu tindakan adalah lebih
baik daripada tidak melakukan apa-apa. Malah situasi akan menjadi lebih parah
lagi sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah
tersebut. Orang yang benar-benar mengenali masa dengan baik akan berpotensi
menggunakan masa sebaiknya tanpa membazirkannya ke jalan yang sia-sia. Setiap
manusia dikurniakan 24 jam dalam sehari. Hanya yang betul-betul mengenali masa
dengan baik akan merasakan waktu yang diberikan cukup bermakna untuk melakukan
kebaikkan dan kebajikan, selebihnya akan merintih dan seringkali mengeluh
kerana kesempitan waktu.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya Allah s.w.t
menyukai apabila sesorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan
tekun.” (Hadis riwayat Abu Daud). Nabi Muhammad s.a.w menekankan supaya apabila
kita ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah dia melakukan dengan
bersungguh-sungguh. Dalam konteks penggunaan masa, kita hendaklah
bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang digunakan dapat
dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biarlah pekerjaan itu sedikit, tetapi pastikan
jangan meleret! Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan elakkan bertangguh agar
masa yang selebihnya dapat digunakan untuk perkara lain yang sama taraf
kepentingannya.
Hormati masa orang lain.
Hidup bermasyarakat mensyariatkan kita agar
bermuamalat dengan manusia lain. Kita sering sahaja memandang enteng tentang
kepentingan masa orang lain. Apabila perkara ini tidak dibendung sewajarnya,
maka mudarat mudah sahaja mendekati! Mungkin mudah untuk berjanji masa dengan
orang lain, tetapi tidak mudah untuk menepati masa dengan orang lain. Berjanji
masa lain, tepati masa lain. Inilah mentaliti yang perlu kita atasi secepatnya.
Membiarkan perkara ini sehingga bernanah, akan merumitkan lagi langkah
pemuliharaan. Sekiranya berjanji, maka tepatilah sehabis baik. Hormati masa
orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menghormati masa kita. Sebagai
seorang mahasiswa, pelajar dan juga penuntut, kehidupan kita sangat dekat
dengan kelas serta kuliah. Kuliah yang kita hadiri saban hari perlulah kita
peka dengan waktu pembelajaran bermula. Andai terlewat, kita bukan sahaja
menganggu kelas dan pensyarah, tetapi memandu insan sekitar kita untuk
melabelkan diri kita sebagai manusia yang tidak tahu menghargai masa!
Sekiranya bersyura, berusrah, bermesyuarat atau
apa-apa majlis yang memerlukan kehadiran kita untuk majlis itu bermula, maka
jangan zalimi masa orang lain. Jika terpaksa lewat disebabkan perkara yang
tidak dapat dielakkan, latih diri untuk beradab dengan masa orang lain. Mohon
kemaafan dan maklumkan akan kelewatan kita. Ini lebih indah daripada lewat
tanpa berita dan alasan yang kukuh!
Tawan masa!
Ramai manusia yang celik akan kepentingan masa
tetapi buta akan cara menggunakannya. Jadi, perkara ini akan merugikan diri
kita sendiri. Belajarlah cara menawan masa dan janganlah biarkan diri kita
ditawan pula oleh masa! “Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat
sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari).
Antara kita dengan masa, siapakah lebih cilik? Tanya
diri kita sendiri, moga beroleh petunjuk Ilahi. Wallahualam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan