Kehidupan di zaman milenium ini sungguh berbeza berbanding 50 tahun dahulu.
Kini populasi penduduk, pembangunan
dan kemajuan semakin meningkat dengan pantasnya. Ianya memerlukan
pengorbanan yang sangat besar dan berharga iaitu kemusnahan dan pencemaran alam
sekitar.
Kehidupan Dan Alam Sekitar
Alam semulajadi semakin
berkurang kerana tuntutan kehidupan dan pembangunan demi keperluan
dan kemajuan. Ianya terlalu pantas berlaku sehinggakan tidak terkawal lalu
membawa pelbagai bencana alam yang mengancam kehidupan dan nyawa.
Kemodenan pula memberi impak
sampingan yang amat besar kepada alam sekitar. Kerana permintaan yang
tinggi, industri semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Sumber kehidupan iaitu udara, air dan hutan semakin dinodai. Bahan dan
barangan berteknologi tinggi semakin menjadi bahan keutamaan namun ia
kebanyakannya mempunyai kadar pereputan yang sangat lama dan bertoksid.
Cara hidup juga telah
berubah. Demi kesenangan dan kemudahan hidup yang semakin mahukan segalanya
mudah, pantas dan segera membawa kepada penggunaan barangan pakai buang semakin
memburukkan lagi keadaan.
Hargailah alam semulajadi
yang indah ini...Tanggungjawab kita menjaga dan memeliharanya
Kesian kepada generasi hadapan. Dapatkah mereka menikmati apa yang kita
nikmati pada hari ini? Melihat pepohon dan hutan yang menghijau. Tasik
yang jernih dan bersih. Sungai yang mengalir dipenuhi pelbagai hidupan. Laut
dan langit yang membiru. Semuanya ini bergantung kepada tindakan kita
pada hari ini.
Kempen Kitar Semula
Apakah pilihan yang kita ada untuk mengekalkan alam semulajadi ini? YA! Kita masih mampu andainya kita berjaya menjadikan amalan
kitar semula satu budaya dalam kehidupan setiap individu. Komitmen dalam
merealisasikan kitar semula dan mengurangkan sampah yang perlu
dilupuskan adalah pilihan terbaik yang kita ada.
Namun mentaliti masyarakat negara ini yang memandang mudah kepada kempen
kitar semula yang dua kali dilancarkan pada 1993 dan 2000 dibuktikan
dengan peratusan kitar semula yang masih rendah iaitu hanya sekitar lima
peratus.
Lihatlah apa sudah jadi dengan tong-tong sampah kitar semula. Malah kempen
sabtu tanpa beg plastik pada awal 2010 juga masih tidak menyeluruh sehingga
kini. Pasti ramai juga yang tidak tahu bahawa setiap 11.November adalah Hari
Kitar Semula Kebangsaan... Betul tak? Jelas sekali kempen kitar semula sebelum
ini masih gagal mencapai sasarannya.
Kehijauan yang dihargai
Sasaran kitar semula negara ini adalah sebanyak 22 peratus menjelang
2020 dimana serentak dengan matlamat negara mencapai status negara maju. Mampukah ianya dicapai? Sasaran kita sahaja jauh
jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun yang berjaya melakukan kitar
semula melebihi 50 peratus.
Sudahlah kesedaran amalan kitar semula gagal, diburukkan lagi dengan
jumlah sampah yang semakin meningkat dan dijangka melebihi 30,000 tan
sehari dalam tempoh kurang 11 tahun lagi. Boleh kita bayangkan apa akan
jadi kepada alam sekitar pada 50 tahun akan adatang.
Dipaksa, Terpaksa Atau
Sukarela
Jutaan ringgit telah
dilaburkan, namun tiada hasilnya. Rakyat Malaysia boleh dilentur dan mudah mengikut arahan dan amalan
yang baik jika kempen kesedaran atau pendekatan yang dianjurkan bersifat
berterusan dan bukannya hanya seperti 'pahat dan penukul'. Bila berlaku
sebarang masalah, baru nak bertindak atau pun buat tak tahu sahaja.Penguatkuasaan
dan pemantauan juga perlu dilakukan.
Pilihan Masa Depan Di Tangan Anda
Jangan biarkan pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan ini
terus bersenang-lenang untuk menghabiskan duit kerajaan dengan program-program
yang gagal, membazir dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat. Ramai lagi insan yang cekap, ikhlas dan
bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab, cuma mereka tidak punya
peluang.
Sebagai seorang manusia yang waras dan bertanggungjawab, tugas setiap
individu untuk menjadikan kitar semula ini satu amalan dalam
kehidupan kita. Jangan sampai kita dipaksa melakukannya. Namun tidak mustahil
satu hari nanti kita terpaksa pula melakukannya.
Oleh itu sebelum dipaksa dan terpaksa, baiklah kita dengan ikhlas
melakukannya mulai hari ini juga. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri
kita, keluarga dan generasi masa hadapan demi kehidupan yang sihat dan
sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan