Untuk berjaya dalam hidup,
motivasi diri boleh dikatakan suatu keperluan. Kita mesti tahu bagaimana untuk
memotivasikan diri kita. Kita juga perlu mempunyai semangat yang tinggi walau
dalam keadaan seteruk mana pun. Sesiapa yang kehilangan semangat ketika melalui
situasi yang sukar akan berdepan dengan kekalahan walaupun perjalanannya belum
pun berakhir.
Persoalannya disini,
bagaimana cara untuk mendapatkan motivasi diri. Disini ada diberikan sedikit tips
motivasi diri yang sedikit sebanyak diharap boleh membantu anda dalam
mengharungi kesulitan mahupun kesukaran dalam perjalanan kehidupan. Artikel
motivasi ini membincangkan tentang apa yang perlu ada dalam diri untuk
sentiasa bersemangat dalam mengejar cita-cita.
Tahu Tujuan
Tiada sumber motivasi yang
lebih kuat untuk anda berjaya dari tujuan anda melakukannya. Tujuan anda adalah
inspirasi terbaik untuk memberi perangsang dalam menghadapi kesulitan di
kemudian hari. Ia akan dapat membantu anda melakukan perkara-perkara yang dilihat
mustahil pada pandangan manusia normal. Bila anda fikir anda sudah tiada
semangat untuk meneruskan perjalanan, ingat balik tujuan anda melakukannya dan
motivasi itu akan kembali kepada anda serta merta.
Tetapkan Impian atau
Matlamat.
Tujuan anda untuk berjaya
merupakan sumber motivasi yang kuat tapi masih belum cukup untuk
merealisasikan apa yang anda mahukan. Anda perlu ada impian atau matlamat. Anda
perlu bayangkan apa yang akan berlaku pada anda apabila anda berjaya mencapai
tujuan anda. Memiliki impian sangat penting sebab sangat susah untuk
bermotivasi jika anda tiada matlamat yang khusus. Bayangkan pemain bola
sepak. Adakah mereka akan bermotivasi jika tiada pintu gol untuk dijaringkan? Mereka
memerlukan matlamat. Begitu juga anda. Matlamat atau impian yang ditetapkan
mestilah cukup besar untuk menginspirasikan anda. Ia harus realistik dan
mencabar untuk mengeluarkan anda dari zon selesa yang anda duduki sekarang ini.
Mempunyai Keinginan Yang
Kuat.
Untuk benar-benar mendapat
motivasi diri yang jitu, anda mesti mempunyai keinginan yang kuat. Ini akan
membantu anda ketika melalui situasi-situasi yang sulit dan memastikan anda
berusaha untuk melakukan prestasi yang terbaik walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Jika anda berasa seperti keinginan anda semakin pudar, apa yang perlu anda
lakukan ialah untuk melihat kembali kepada impian dan matlamat anda. Ini
akan memberikan motivasi kepada diri anda dan meningkatkan lagi rasa keinginan
anda.
Tetapkan Haluan Sendiri
Membandingkan diri anda
dengan orang lain biasanya akan mengurangkan keyakinan anda. Walaupun anda pada
mulanya bersemangat, lama-kelamaan anda mula terasa kekurangan diri jika dibandingkan
dengan orang lain. Elakkan ini terjadi kepada anda. Anda mempunyai matlamat
sendiri dan apa yang orang lain kecapi tidak perlu dibandingkan dengan diri
anda. Setiap orang mempunyai perjalanan hidup dan keadaan yang berbeza.
Membandingkan diri anda dengan orang lain adalah seperti membandingkan prestasi
seorang perenang dengan seorang pelari menggunakan standard masa yang sama. Mereka
berdua dalam situasi yang berbeza jadi ianya adalah tidak relevan untuk
membandingkan kedua-dua orang ini.
Berani Meneruskan Perjalanan
Apabila anda bertemu dengan
cabaran dalam perjalanan anda untuk berjaya, anda mungkin cenderung untuk
menghentikan perjalanan itu. Anda mungkin berfikiri bahawa ia terlalu sukar
untuk diteruskan. Tetapi, ini sebenarnya adalah saat dimana anda boleh melihat
perbezaan antara seorang yang menang ataupun seorang yang kalah. Meskipun kedua-duanya
menghadapi kesulitan yang sama, tetapi satu perkara yang membezakan adalah
keberanian untuk meneruskan perjalanan itu. Jika berhadapan dalam situasi yang
sukar, fokuskan pemikiran anda untuk meneruskan langkah kehadapan. Jangan
berfikir bagaimana untuk menyelesaikan perlumbaan atau berapa banyak lagi
cabaran yang akan ditempuhi. Tetapi, hanya fokus untuk mengambil langkah yang
seterusnya.
Lupakan Masa Silam
Percaya atau tidak, salah
satu pemusnah motivasi diri anda adalah masa silam anda sendiri. Ia
boleh memberi beban yang berat diatas bahu yang perlu anda pikul. Walaupun
begitu, ia adalah sesuatu yang boleh anda tinggalkan. Anda mungkin membuat
kesalahan pada masa lalu. Anda mungkin telah mengecewakan orang lain dengan apa
yang anda lakukan. Tapi itu semua sudah berlalu. Ia adalah sesuatu yang tidak
dapat anda ubah lagi hakikatnya. Hari ini adalah hari yang baru dan anda
sentiasa mempunyai peluang untuk memulakan semula hari anda. Tidak kira seteruk
mana masa silam anda, masih ada masa depan yang cerah menanti jika anda berani
meneruskan perjalanan.
Semoga tips
motivasi diri yang diberikan diatas boleh membantu anda untuk mengecapi
kejayaan dalam hidup. Tidak kira sesusah mana pun cabaran yang dihadapi,
teruskan usaha anda, berdoalah untuk mendapat yang terbaik, dan bertawakal
kepada Allah.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan